Salam 1Malaysia ,
Hari ini hari bersejarah buat kita, rakyat Malaysia. Rabu lepas, saya berpeluang meninjau dan merasai sendiri pengalaman menaiki tren fasa kedua MRT laluan Sungai Buloh - Kajang (SBK) yang telah siap dan bakal dilancarkan operasinya pada petang ini, 17 Julai 2017. Anda boleh membaca pengalaman saya dan keluarga
di pautan ini.
Jika kita imbas semula, perancangan projek pembangunan MRT ini telah bermula sejak 2010 lagi apabila saya mengumumkan projek MRT ketika membentangkan isi kandung Rancangan Malaysia Ke-10. Projek MRT ini adalah projek utama dalam agenda Program Transformasi Nasional untuk membina sebuah sistem pengangkutan awam bersepadu di Lembah Kelang.
Alhamdulillah, enam tahun kemudian iaitu pada 16 Disember 2016, MRT Laluan SBK Fasa 1 telah pun memulakan operasinya, merangkumi 12 stesen dari Sungai Buloh ke Semantan.
Hari ini, laluan penuh MRT Sungai Buloh-Kajang akan memulakan operasinya dan saya menjemput anda untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini. Jajaran MRT Sungai Buloh – Kajang sepanjang 51 km ini hanyalah satu permulaan kepada sebuah sistem pengangkutan awam yang bakal mengubah gaya hidup dan meningkatkan kesejahteraan penduduk di sekitar Lembah Kelang dan Greater Kuala Lumpur.
Dengan pengintegrasian MRT bersama sistem KTM Komuter, LRT dan Monorel, penduduk Lembah Kelang dan Greater Kuala Lumpur boleh menikmati kesalinghubungan yang lebih cepat dan efisien, dan Insya-Allah, lebih ramai lagi akan memilih pengangkutan awam lantas membantu mengurangi kesesakan lalulintas dalam bandaraya Kuala Lumpur. Sebagai contoh, penduduk Kajang boleh ke Bukit Bintang dalam tempoh 33 minit, dan anda hanya perlu membayar tambang MRT pada kadar RM3.80 sahaja!
Infrastruktur pengangkutan awam bertaraf dunia ini telah dibangunkan serta diusahakan oleh ribuan anak tempatan sejak tahun 2010. Saya amat berbangga dengan semua yang terlibat dengan projek ini. Berbanggalah dengan pencapaian anda, imbas kembali segala pengorbanan tenaga, masa beristirahat bersama keluarga dan sahabat handai. Inilah hasil keringat dan air mata anda!
Pada kesempatan ini, saya sekali lagi menjemput anda untuk bersama meraikan satu lagi detik bermakna buat Negaraku, tanah airku. Saya percaya, anda akan menikmati satu pengalaman yang mengkagumkan. Lebih menarik lagi, demi meraikan detik penuh sejarah ini, sukacita saya maklumkan bahawa semua tambang MRT, LRT dan Monorel akan diberikan diskaun khas sebanyak 50% bermula hari ini sehingga 31 Ogos 2017 nanti. #JomNaikMRT
Najib Razak
No comments:
Post a Comment